ABIM Kecam Serangan terhadap Pasukan Pengaman, Seru Tindakan Tegas Antarabangsa

ABIM

PONTIANAK – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengecam sekeras-kerasnya serangan terhadap pasukan pengaman yang telah mengorbankan seorang anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI), Prajurit Kepala (Praka) Farizal Rhomadhon, serta mencederakan beberapa anggota lain ketika menjalankan tugas di bawah misi United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL).

Presiden ABIM, Ahmad Fahmi bin Mohd Samsudin, menyatakan bahawa insiden tersebut bukan sekadar tragedi, tetapi mencerminkan kemerosotan serius terhadap norma asas keselamatan antarabangsa.

“Serangan terhadap pasukan pengaman merupakan satu isyarat jelas bahawa perlindungan terhadap entiti yang beroperasi di bawah mandat antarabangsa semakin terhakis. Ini adalah krisis keyakinan terhadap sistem keselamatan kolektif dunia,” tegasnya.

ABIM turut merakamkan setinggi-tinggi takziah kepada keluarga mangsa serta menyatakan solidariti penuh kepada rakyat dan kerajaan Indonesia atas kehilangan tersebut. Kehilangan ini disifatkan sebagai satu tamparan besar, bukan sahaja kepada Indonesia, malah kepada komuniti antarabangsa yang komited terhadap usaha keamanan global.

Dalam masa yang sama, ABIM mengambil maklum kehadiran anggota Batalion Malaysia (MALBATT) yang sedang bertugas di Lubnan di bawah misi UNIFIL. Sehubungan itu, ABIM menggesa pihak berkuasa Malaysia agar memberikan maklumat yang jelas dan terkini mengenai tahap keselamatan anggota negara, serta memastikan langkah perlindungan dipertingkatkan selaras dengan risiko semasa di kawasan operasi.

Sebagai respons terhadap insiden ini, ABIM mengemukakan beberapa pendirian strategik. Malaysia disaran segera menjalankan penilaian menyeluruh terhadap tahap keselamatan anggota MALBATT, termasuk kesiapsiagaan operasi dan keperluan pengukuhan perlindungan di lapangan.

Selain itu, Malaysia bersama Indonesia dan negara-negara ASEAN perlu menyelaras pendirian bersama untuk mendesak jaminan keselamatan yang lebih tegas di peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), termasuk memastikan akauntabiliti terhadap mana-mana pihak yang mensasarkan pasukan pengaman.

ABIM juga menegaskan bahawa ASEAN tidak boleh kekal sebagai pemerhati pasif, sebaliknya perlu memainkan peranan lebih proaktif melalui kenyataan bersama dan mekanisme konsultasi segera antara negara penyumbang pasukan pengaman.

Di samping itu, Malaysia diseru memperkukuh peranannya di platform antarabangsa seperti Gerakan Negara Berkecuali (NAM), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), serta forum Global South dalam mempertahankan undang-undang antarabangsa dan keselamatan sejagat.

Menurut ABIM, kegagalan bertindak tegas terhadap insiden seperti ini berisiko mewujudkan duluan berbahaya, di mana pasukan pengaman tidak lagi dihormati sebagai entiti neutral, sekali gus mengancam keseluruhan kerangka keamanan global.

“Keselamatan pasukan pengaman adalah garis merah yang tidak boleh dikompromi dalam apa jua keadaan konflik. Pendekatan diplomasi yang lebih tegas dan penyelarasan serantau yang kukuh amat diperlukan bagi memastikan keselamatan semua anggota pengaman terus terpelihara,” ujar Ahmad Fahmi.

ABIM menegaskan komitmennya untuk terus menyokong usaha keamanan antarabangsa serta menyeru semua pihak agar mempertahankan prinsip kebenaran, keadilan dan kedaulatan undang-undang.***

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *